Tuesday, October 25, 2011

gunung ledang telah kutawan

sedang 'mengemas' pc di hari-hari akhir di pejabat ini, terjumpa satu artikel nukilan diri ketika ber'DPA' dulu. setelah menelusurinya, terasa ingin dikongsikan di sini, sebagai kenangan di kemudian hari.
********************************
ledang yg penuh misteri

REFLEKSI EKSPEDISI MENAWAN PUNCAK GUNUNG LEDANG


Modul Kecerdasan Diri merupakan modul luar yang terakhir dilalui oleh para peserta Sidang B. Modul yang baru diperkenalkan oleh pihak Unit Diploma Pengurusan Awam (UDPA) pada sesi ini memberi peluang kepada para peserta Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) untuk memilih, merancang dan seterusnya melaksanakan aktiviti yang berkaitan kecerdasan diri. Semasa sesi perbincangan, pelbagai cadangan telah dikemukakan oleh ahli sidang namun akhirnya cadangan Saudara Fadhli yang dikemukakan secara hitam putih dalam kertas kerja yang telah diterima dan diluluskan oleh pihak UDPA. Maka pada 15 Mei 2007 sehingga 17 Mei 2007, Ekspedisi Menawan Puncak Gunung Ledang telah direalisasikan.

Secara jujurnya, penglibatan saya di dalam ekspedisi ini pada awalnya adalah kerana terpaksa memandangkan ia merupakan satu daripada modul yang telah ditetapkan oleh pihak UDPA. Hati saya memberontak kerana fizikal mahupun emosi saya sudah keletihan. Selama tujuh minggu berturut-turut sidang kami telah menjalani modul luar dengan dua minggu yang terakhir ialah modul ketahanan fizikal di Outbound School, Lumut. Justeru, apabila pulang daripada Lumut, ekspedisi mendaki Gunung Ledang bukanlah sesuatu yang ditunggu-tunggu. Namun begitu, saya berusaha memujuk hati dan memberi kata-kata semangat kepada diri sendiri supaya melihat program ini sebagai sesuatu yang positif dan menarik.

Pada hari yang ditetapkan, kami seramai 63 orang ahli Sidang B, dengan diiringi oleh En. Razaimi selaku pegawai pengiring telah bertolak menuju ke Gunung Ledang Resort di Sagil, Johor Darul Takzim. Resort yang terletak di kaki Gunung Ledang yang merupakan sebahagian daripada Taman Negara Johor bakal menjadi tempat kami berkampung kami selama tiga hari dua malam. Perjalanan yang mengambil masa selama tiga jam dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk merehatkan diri sebagai persediaan menghadapi ujian fizikal dan mental yang mencabar. Semakin hampir kami dengan destinasi yang dituju, semakin jelas puncak Gunung Ledang kelihatan. Gagah dan tersergam gunung yang menjadi saksi kisah pengembaraan Hang Tuah selaku utusan peminangan Sultan Melaka untuk menyunting tuan puteri idaman hati, satu kisah legenda yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Di sudut hati saya terdetik perasaan yang sukar untuk digambarkan dengan perkataan. Rasa teruja melihat gunung yang bakal ditawan itu bercampur-baur dengan rasa cuak dengan pelbagai cerita mistik dan misteri yang didengar.

Ketibaaan kami di Gunung Ledang Resort adalah awal daripada jangkaan. Dalam menanti kehadiran pihak ranjer yang telah diatur untuk menyambut kami, kami telah dikejutkan dengan satu tragedi yang amat menggusarkan. Tragedi maut yang baru berlaku pada pagi itu mejadikan kami semua semakin cuak dan resah mengenangkan apakah yang bakal menanti kami di atas sana. Namun bagaikan berjanji, tiada seorang pun di antara kami yang berbicara tentang perkara ini. Masing-masing seolah-olah tiada apa yang berlaku. Saya sendiri mengambil pendekatan tidak mahu tahu apa yang terjadi itu kerana bimbang ia akan melemahkan semangat.

Setibanya di tapak perkhemahan, saya berasa amat bersyukur apabila diputuskan bahawa peserta wanita tidak perlu mendirikan khemah, sebaliknya akan menggunakan balai yang terdapat di situ sebagai rumah tumpangan selama berada di kaki Gunung Ledang. Setelah melalui empat ekspedisi dalam tempoh dua minggu semasa berada di OBS, tidur di dalam khemah menjadi salah satu perkara yang ingin dielakkan. Selesai membersihkan kawasan dan menyiapkan tempat yang bakal menjadi rumah kami selama tiga hari dua malam, kami bergotong-royong menyediakan menu istimewa petang itu iaitu, ‘maggi’ goreng. Semua orang begitu berselera menikmati juadah tersebut, apatah lagi bila makan beramai-ramai, sesuatu yang biasa menjadi sangat enak rasanya. 

Malam itu, selesai makan malam, kami semua diberikan penerangan ringkas tentang apa yang bakal menanti kami keesokan hari oleh En. Ruben, orang yang diberi kepercayaan untuk menyelaras kami sepanjang ekspedisi ini. Beliau memberikan kata-kata perangsang sebagai motivasi kepada kami untuk menawan puncak Ledang. Beliau seolah-olah dapat merasai bahawa ramai di antara kami yang kurang bersemangat dan kurang berkeyakinan dengan kemampuan diri untuk sampai ke puncak. Saya salah seorang daripadanya. Namun apabila mendengar kata-kata beliau yang penuh bersemangat, saya menanam azam dalam diri saya bahawa saya ingin memenuhi tujuan saya ke situ iaitu mendaki dan menawan puncak Gunung Ledang.

Hari kedua, hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Dengan diiringi oleh enam orang ranjer, kami memulakan ekspedisi pendakian kami pada pukul 8.30 pagi. Bergerak dalam satu kumpulan besar, kami bersama-sama menuju ke ‘check point’ yang pertama, seterusnya ke ‘check point’ kedua dan berikutnya hinggalah ke ‘check point’ yang kelima. Sepanjang perjalanan ini, kami menyusuri sungai dan menempuhi beberapa air terjun. Bunyi air yang mengalir disulami dengan sahutan hidupan di hutan memberikan satu muzik yang amat menenangkan. Saya sangat terpegun melihat batu-batuan pelbagai bentuk dan rupa seolah-olah diukir oleh seseorang yang begitu berseni dan teliti.

Semakin jauh kami berjalan, semakin tinggi kami mendaki, semakin sukar perjalanan kami. Di ‘check point’ kelima, ranjer yang mengetuai ekspedisi kami membuat keputusan, sekiranya kami ingin tiba di puncak, kami perlu bergerak dengan lebih pantas dan perlu tiba di sana selewat-lewatnya pukul 1.30 petang. Ini kerana semakin lewat kami tiba di puncak, semakin lewat kami akan turun kembali ke tapak perkhemahan. Ditambah dengan keadaan cuaca yang menunjukkan tanda-tanda akan hujan, perjalanan akan menjadi semakin berbahaya terutama apabila keadaan semakin gelap. Perasaan saya mula berbelah-bahagi sama ada mahu meneruskan perjalanan atau tidak kerana saya sedar bahawa kelajuan bukanlah di pihak saya. Tambahan pula, sebahagian daripada ahli kumpulan telah menarik diri dari meneruskan pendakian. Namun saya kuatkan semangat dan kata-kata perangsang daripada rakan-rakan memberikan saya keyakinan untuk meneruskan perjalanan.

Sesungguhnya di ‘check point’ inilah bermulanya ujian pendakian yang sebenar. Keadaan muka bumi semakin curam, dengan akar-akar kayu merintangi perjalanan memerlukan kekuatan kaki dan tangan untuk naik ke atas. Saya hampir menyerah kalah, dan ingin berpatah balik kerana merasakan ianya terlalu sukar. Apatah lagi rakan-rakan yang lain telah jauh meninggalkan saya di belakang. Beberapa kali saya suarakan hasrat untuk berpatah balik kepada ranjer yang setia berada bersama-sama saya, namun pada masa yang sama saya terus bergerak ke atas. Akhirnya saya tiba juga di ‘check point’ yang keenam walaupun sebagai orang yang terakhir. Rakan-rakan memberikan kata-kata perangsang yang menaikkan kembali semangat saya menyebabkan saya bertekad  menghabiskan pendakian ini.

Dalam pendakian untuk tiba ke puncak kami menempuhi pelbagai halangan yang sukar dan mencabar. Selain daripada kecuraman, kami terpaksa melalui Gua Kambing dan Batu Hampar yang amat menguji kekuatan fizikal dan mental. Namun semua ini berbaloi apabila kami dapat menyaksikan keindahan dan kehebatan alam semulajadi yang eksklusif hanya untuk mereka yang berjaya sampai ke atas sahaja. Antara yang mengagumkan saya ialah Taman Bonsai yang sangat cantik dan terpelihara seolah-olah ada yang menjaganya. Berada di kawasan ini membuatkan saya terasa seolah-olah berada di suatu dunia yang lain. Begitulah hebatnya kuasa yang Maha Esa. Sebagai hamba-Nya, saya amat bersyukur diberi peluang dan kekuatan untuk menikmati keindahan alam ciptaan-Nya itu.

Kepuasan apabila tiba di puncak Gunung Ledang adalah satu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Bagi seorang yang tidak pernah terlibat dalam apa-apa aktiviti lasak sehinggalah DPA, ini merupakan satu pencapaian peribadi yang amat membanggakan. Pengalaman ini menyedarkan saya bahawa saya mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk melakukan apa sahaja sekiranya saya benar-benar mahukannya dan saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Sesungguhnya kekuatan mental mampu mengatasi halangan fizikal. Sekiranya di suatu ketika nanti perjalanan hidup saya berhadapan kesukaran dan saya merasakan saya tidak mampu untuk meneruskannya, pasti saya akan kenang kembali saat ini dan perasaan ketika di puncak Ledang dan jadikanya sebagai pembakar semangat untuk tidak menyerah kalah. Benarlah, ‘anything that mind can conceive and believe, can be achieved’.

kami berjaya!

Friday, October 14, 2011

penantian satu penyeksaan



mula-mula dapat surat untuk ambik surat.
dah ambik surat kena tunggu untuk satu lagi surat.
dahla surat yang diterima tak seumpama yang diharapkan.
surat yang dinanti ni tak tau la macamana plak kesannya.
memang percaturan manusia ni hanyalah perancangan, realitinya hanya Allah jua yang mengetahui.
minggu depan sekali lagi kena ke putrajaya dan kali ni entah untuk brapa lama.
sehari, dua; atau kah seminggu; atau kah memang akan bergelar warga sana.....
memang perasaan yang bercampur-baur, yang tak dapat nak diluahkan......
huhuhuhu......suspennya.....

Friday, October 7, 2011

ke mana arah tujuku.....?

tak lama lagi akan berlaku perubahan besar dalam hidup aku esp dari aspek kerjaya. dan kemungkinan besar akan juga membawa perubahan kepada keluarga. apa-apa pun sehingga kini semuanya masih berupa spekulasi. kita tunggu selasa depan....until then, all i can do is praying & praying to Allah for the best ~ for me, for my family, for my carier.

dub, dab, dub, dab......

Wednesday, October 5, 2011

new look

petang kemarin aku berkesempatan mengodek-ngodek blog aku ni. so tadaaaa......beginilah rupanya. hehehe...senang jer sebenarnya, pilih dan copy. then edit sikit-sikit lay-out. orang yang ala-ala celik tp rabun IT macam aku ni pun bleh buat. credit to the creator of the templates.

berminat? klik jer kat bahagian atas blog ni, yg ada promote empunya templates.

so friends, what do you think of my new look?